Bujang=Bilik Bersepah?
Bismillahir
Rahmanir Rahim
Alhamdulillah, segala kesyukuran daku panjatkan buat
Rabbul Alamin, kerana telah memberi sekali lagi peluang ke atas diriku untuk
mencoret kata dalam ruangan ini. Selawat dan salam daku tujukan kepada junjungan
Nabi yang Tercinta, Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wasallam serta ahli
keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda.
Seperti mana tajuk yang tertera
di atas, Insha Allah kali ini saya ingin berkongsi dengan sidang pembaca
sekalian tentang aspek kebersihan golongan bujang. Kebanyakan orang bujang suka
memberi alasan jika ditanya kenapa bilik bersepah dengan alasan: “biasalah.
Bilik orang bujang.” Tatkala kita
menziarahi bilik teman-teman kita untuk bertemu mata dan bertanya khabar maka
tentu sekali mereka akan mempelawa kita untuk memasuki bilik mereka dan pertama
sekali yang mereka akan katakan adalah permohonan maaf. Dialog yang biasa kita
dengar: “maaflah, bilik bersepah sedikit. Biasalah bilik orang bujang”
Perasaan aneh mulai meresap ke dalam
pemikiran dan hati kecil saya. Satu persoalan mulai menerjah masuk ke ruang
pikiran saya. Apakah status bujang itu dapat membenarkan seseorang yang
bergelar bujang itu untuk tidak mengemas biliknya sehingga dibiarkan sahaja
pakaian-pakaian mengambil sebahagian kawasan katil yang digunakan untuk tidur
dan buku-buku berselerak di atas meja. Saya pelik. Adakah kerana bujang, bilik
tidak dapat diuruskan dengan baik sehingga sakit mata melihatnya. Seperti yang
kita fahami, maksud bujang itu adalah seorang lelaki/perempuan yang masih belum
bernikah atau yang sama maksud dengannya.
Lepas
kahwin baru jadi kemas?
Saya tertanya-tanya, adakah
selepas nikah barulah sebuah bilik/sebuah rumah itu akan berkemas? Adakah bilik
atau rumah itu akan kemas dengan sendirinya
apabila seseorang itu sudah bertukar statusnya daripada bujang kepada
seorang suami/isteri? Saya sama sekali tidak akan menjawab persoalan yang saya
ajukan ini. Biarlah anda yang menjawabnya. Saya pernah mengajukan soalan
sebegini kepada seorang sahabat yang saya hormati. Jawapannya agak mudah dan saya
rasa inilah jawapan majoriti insan yang memberi alasan biliknya bersepah kerana
bujang. Jawapannya: “nanti lepas kahwin, akan ada orang yang akan tolong kemas
barang-barang kita”
Biasanya jawapan sebegini akan
diberikan oleh seorang jejaka kerana di dalam fikirannya telah di terapkan dan
di’set’kan bahawasanya isterinya lah yang akan menguruskannya. Menguruskan
segala hal ehwal dirinya baik dari segi kebersihan diri, rumah, anak-anak juga
aspek-aspek yang berkaitan dengan keluarga seperti mengemas rumah, mendidik
anak, melayan kerenah anak dan banyak lagi. Semuanya akan dihempaskan ke atas
bahu seorang manusia yan bergelar isteri.
Isteri
buat segalanya?
Apakah wajar seorang jejaka itu
untuk bersifat sedemikian rupa? Saya tidak nafikan bahawa ianya memeng
tanggungjawab seorang isteri tetapi saya ingin memohon jasa baik para jejaka
diluar sana. Apakah layak semua perkara diserahkan bulat-bulat kepada seorang
isteri? Memang tidak dinafikan seorang lelaki itu punya tanggungjawabnya yang
tersendiri iaitu mencari nafkah yang halal tetapi saya ingin menegaskan disini.
Tugas isteri juga adalah tugas seorang suami. Saling membantu dalam membuat
sesuatu perkara. Ini bukan bermakna kita akan menjadi ‘pak turut’ bagi seorang
isteri tetapi kita akan menjadi seorang suami yang amat dihormati oleh seorang
isteri.
Menolong isteri sama sekali
tidak akan menjatuhkan maruah seorang suami bahkan sebenarnya akan menaikkan
kredebiliti seorang suami itu sendiri bahkan kredebiliti itu akan melambung
tinggi kerana kita menghulurkan tangan kita kepada isteri kita. Isteri kita
akan lebih menghormati dan menyayangi diri kita. Kembali kepada topik diatas,
cuba anda bayangkan jika seorang lelaki (bujang) yang memberi alasan tidak
mengemas biliknya hanya kerana berstatus bujang berkahwin dengan seorang
perempuan yang juga berfikiran yang sama(tidak mengemas bilik kerana status
yang cukup ampuh:bujang). Apakah agak-agaknya yang akan berlaku pada mereka? Apakah
rumah mereka atau bilik mereka akan kemas seperti yang diharapkan dan diidam-idamkan?
Tanya hati kecil kita.
Didik
diri untuk mengemas bilik dan rumah
Didiklah diri kita untuk
berjinak-jinak dalam berkemas. Kekemasan bilik sebenarnya menunjukkan sifat dan
keperibadiaan seseorang itu. Jika kemas biliknya maka secara spontan kita akan
tahu bahawa seseorang itu amat teliti, pembersih dan amat menitik beratkan
aspek kebersihan. Tetapi jika kita tengok sebuah bilik yang bersepah maka kita
akan beanggapan dengan anggapan yang kurang enak. Apakah tanggapan itu? Tepuk
dada, tanya hati kecil kita.
Saya tidak nafikan memang
menjadi kebiasaan bilik itu tidak kemas tetapi apa yang saya maksudkan disini
adalah bilik yang bersepah. Pakaian yang berjuntaian, disangkut dimana sahaja
tempat yang boleh disangkut seperti di tingkap, kipas, kepala katil(bukan
bermaksud untuk menjemur). Buku-buku(selain buku yang digunakan untuk rujukan
belajar) berselerakan diatas meja sedangkan almari ada untuk digunakan.
Saya mengaku yang bilik saya tidaklah terlalu kemas
sehingga licin berkilat dan tersusun rapi. Tetapi saya cuba untuk mengemas dan menyusun
semua benda agar semua benda ada tempatnya yang tersendiri sehingga mudah bagi
saya untuk mengambilnya disaat saya memerlukannya dan jika ada pakaian dan buku
yang tidak berada ditempatnya saya akan ambil dan letak di tempat yang
sepatutnya. Pakaian yang sudah dipakai/ingin dibasuh diletakkan di dalam baldi,
baju yang masih boleh dipakai diletakkan di satu tempat yang khas, buku-buku
rujukan diletakkan di dalam rak yang telah disediakan.
Jika ada tetamu yang mengunjungi bilik saya sedangkan
bilik saya agak tidak tersusun maka saya akan meminta maaf tetapi bukan dengan
alasan bujang. Dengan alasan yang agak berat untuk disebut oleh mulut seorang
manusia. Malas. “Maaflah, bilik bersepah sedikit. Biasalah malas nak berkemas.”
Malu rasanya ingin menggunakan alasan bujang sebab bagi saya, jika disaat
status kita bergelar bujang kita tidak mampu untuk menguruskan sebuah bilik
tidur apatah lagi jika nanti kita dipertanggungjawabkan dengan seorang wanita
yang bergelar isteri. Renung-renungkan wahai sahabat-sahabatku yang baik.
Sahli Arifin
16.11.2016
UIAM, Gombak
Comments
Post a Comment