Perak : Simpanan & Pelaburan

Biasanya orang duk cerita pasal emas, tapi tak ramai yang sentuh pasal satu lagi logam yang berharga yang biasa datang bersama dengan emas, iaitu perak. Mungkin kita di Malaysia agak kurang serasi atau familiar dengan perak sebab kita lebih senang bercerita tentang emas. Mungkin juga disebabkan faktor penggunaan perak di Malaysia yang kurang menyerlah atau jualan perak tidak mendapat sambutan daripada pembeli.

Perak atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai silver adalah satu logam yang hampir sama dengan emas pada satu sudut iaitu memegang nilai wang. Kalau dalam dunia Islam, lebih dikenali sebagai dirham dan dirham digunakan sebagai salah satu matawang di dalam urusan seharian. Betul ke perak pun mampu menjaga nilai wang seperti emas? ha, ni kita cerita kat bawah satgi.
Meskipun tidak ramai yang bercerita tentang perak, tapi tahukah anda bahawa perak adalah satu logam yang sesuai untuk disimpan dan dilaburkan? Tulisan kali ini saya akan sentuh serba sedikit kenapa perak (kelebihan & kekurangan) sesuai dijadikan item untuk disimpan dan dilaburkan. Di sini saya bawakan 5 sebab kenapa kita perlu tukarkan sedikit wang kita kepada perak:

1. Perak adalah Duit Sebenar

Memang tidak dinafikan yang perak sekarang ini bukanlah salah satu wang yang digunakan di dalam proses jual beli dan kegunaan seharian kita, tapi perak sama seperti emas iaitu wang yang kukuh dan mampu berdiri dengan sendiri. Tak melebih sekiranya saya katakan emas dan perak adalah wang terbaik yang pernah wujud sebab ia tidak boleh dicipta dan dihapuskan. Banyak lagi hujah yang diberikan oleh pakar emas dan perak mengenai hal ini. part ni kita cerita lain ye. =)

2. Harga Perak : Murah

Rakan pembaca percaya tak yang harga 1gram perak hanyalah sekitar RM5-10 sahaja. Rasa macam tak percaya kan? Logam bernilai seperti perak harganya mampu milik dan kita boleh beli tanpa banyak fikir sebab murah sangat. Mana nak dapat, beli logam bernilai dengan harga tersebut. Kalau emas kita perlukan lebih kurang RM270 per gram tapi kalau perak, RM5 pun dah dapat 1gram.

3. Perak Lebih Bersifat Praktikal Untuk Kegunaan Harian

Ini antara fakta yang tak dapat disangkal. Sekiranya ada satu masa di mana emas dan perak digunakan sebagai wang, maka perak adalah yang paling sesuai untuk digunakan sebagai kegunaan harian. Cuba kita fikir dan congak sikit, apa yang lebih sesuai untuk kita membeli belah di pasar raya yang biasanya kita habis sekitar RM50-200 bagi satu-satu transaksi? Emas ke perak? 
Kalau kita guna matawang Islam, dinar dan dirham. 1 dinar nilainya hampir RM1,200.00 sekeping tapi 1 dirham nilainya hanya sekitar RM20.00
Rasa-rasa, mana yang lebih sesuai dan praktikal untuk kegunaan harian?

4. Kesediaan Perak yang Berkurang dan Permintaan yang Tinggi

Kalau kita lihat graf kesediaan dan bilangan perak yang dilombong, grafnya jatuh dan bilangannya makin menyusut saban tahun. Ini disebabkan pelombong merasakan perak tidak mendapat sambutan seterusnya mereka terpaksa menjual dengan harga yang rendah dan kurang daripada modal yang dikeluarkan atau dalam kata lainnya, tak balik modal bahkan merugikan.

Permintaan Industri yang Tinggi

Meskipun begitu, satu fakta yang tidak boleh ditutup atau dipadamkan ialah keperluan industri semasa yang amat memerlukan perak di dalam proses pembuatan produk masing-masing.

Tak percaya? Saya boleh katakan hampir semua teknologi atau peranti yang digunakan oleh kita mempunyai perak kerana perak adalah satu logam yang mempunyai elemen konduktif elektrik, haba dan reflektor. Bukan itu sahaja, perak juga digunakan di dalam bidang perubatan, automotif, peranti telefon dan sebagainya.

5. Perak Memegang Nilai Wang

Sama seperti emas, nilai perak terjaga walaupun sudah berkurun lamanya. Kalau biasanya orang kaitkan 1 dinar emas dengan seekor kambing, saya boleh kaitkan 1 dirham perak dengan seekor ayam. Cuba rakan-rakan tengok, hari ni 1 dirham perak lebih kurang harganya sekitar RM18 sekeping. Dengan nilai tersebut, boleh tak kita beli seekor ayam?

Tapi...

Walaupun kita tahu kelebihan perak, ia pun ada kekurangan juga. Tahu tak apa kekurangan perak? Sini saya bawakan beberapa kekurangan perak untuk dihadam:

1. Saiz yang Besar

Kalau rakan-rakan pembaca buat perbandingan saiz antara emas dan perak, akan jelas perbezaannya. walaupun timbangan beratnya sama, tapi saiznya jauh sangat berbeza. Ini disebabkan masalah ketumpatan perak. Meh tengok gambar jika dibandingkan emas dan perak. dua-dua adalah 100gram, tapi kita dapat tengok dengan jelas yang 100gram perak lebih besar dari 100gram emas.
2. Ruang Simpanan yang Besar

Apabila saiznya besar, mestilah perlukan ruang simpanan yang besar. Kalau emas kita boleh simpan dalam deposit box dengan bilangan yang banyak, kalau perak, kena cari alternatif lain untuk simpan, sebab besar sangat saiznya. Makan banyak ruang.

3. Pergerakan yang Agresif

Kalau kita rujuk graf perak, pergerakannya lebih banyak dan agresif berbanding emas yang lebih tenang dan steady. Sebab itu ramai pelabur yang lebih suka melabur dalam perak sebab cepat nak dapat untung, tapi cepat juga jatuh rugi sebab pergerakannya yang cepat dan laju. Kalau dia naik, dia naik betul, tinggi melangit. Tapi kalau jatuh, membenam bumi.

4. Tidak Mesra Ar-Rahnu

Berbeza dengan emas, perak tidak begitu diterima oleh pihak ar-rahnu atau pajak gadai. Jadi, nak cairkan perak sedikit sukar.

5. Syarikat Tertentu Sahaja 

Kalau rakan-rakan nak beli, simpan dan jual semula perak, kena pilih elok-elok ya. Tak banyak syarikat yang boleh beli semula perak walaupun itu perak mereka. Jadi, sebelum nak tukarkan wang jadi perak, cari dahulu syarikat yang boleh beli semula perak mereka. 

Memang perak berbaloi untuk dijadikan salah satu item pelaburan, tapi dalam masa yang sama jangan dilupa kekurangannya itu. Nak lagi selamat dan untung, gunakan kekurangan tersebut sebagai satu input untuk dijadikan batu loncatan dalam mengaut keuntungan perak sebagai satu alat kewangan.

Sekiranya rakan-rakan nak tahu lebih lanjut tentang perkara di atas, boleh hubungi saya di sini https://wa.me/601171610520

Sahli Arifin
Univeristi Kebangsaan Malaysia
31.12.2020

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Perak / Dirham : Berbaloikah untuk simpanan?

Penting sangatkah ‘introducer’ ni?

Tempat terbaik untuk menjual emas

Tips Beli Emas : Mudah Jual Semula