Sediakan Payung Sebelum Hujan


                Semester(sem) pertama di Universiti Islam Antarabangsa(UIA) banyak cerita dan kisah yang berlaku. Tidak kurang juga pengajaran yang diperolehi sepanjang satu sem di uia. Antara benda yang saya belajar adalah bawa payung. Pada mulanya saya tidak membawa payung dan itulah kebiasaan rakyat malaysia. Kebanyakannya bukan semuanya. Tidak bawa payung. Saya antara rakyat malaysia yang tidak gemar membawa payung tapi dalam sem pertama di uia saya belajar satu perkara. Ianya saya ambil dari seorang senior yang saya hormati yang bernama Dana Ahmad dari Kurdishtan. Saya selalu lihat di begnya ada payung mini yang boleh di letakkan di bahagian botol air. Ianya menarik hati saya maka saya bertanya padanya akan hal tersebut.


                Jawapannya tentu sahaja saya tahu dan anda semua tahu, berjaga-jaga kalau-kalau nanti hujan.  Dan nak jadikan cerita, habis kelas petang itu, hujan turun dengan lebatnya. Ramai yang tidak berganjak dari kelas melainkan beberapa orang dan Dana Ahmad adalah salah seorang yang berganjak dari tempat duduknya untuk pulang ke mahallah. Selain dia ada juga yang nekad untuk meredah hujan dan ada yang menaiki kereta tapi saya tetap di kerusi menuggu hujan serik. Satu pengajaran yang amat bernilai.

                Maka sedari hari itu, saya membeli payung sepertinya, payung yang boleh dilipat dan muat di tempat letak botol beg saya. Sedari hari itu jugalah saya sering membawa payung ke mana sahaja dan jika hujan turun membasahi bumi, maka saya adalah salah seorang yang dapat bergerak di bawah pancuran air hujan rahmat Ilahi tanpa basah. Syukur yang tidak terhingga atas satu ilmu yang diberikan oleh Allah kepada saya. Tapi seingat saya pepatah melayu sudah mengingatkan kepada masyarakat: “Sediakan payung sebelum hujan”.

                Tapi ada sesuatu yang lebih bermakna saya perolehi dari cerita ini. Bersedialah kamu. Kita takut hujan pada hari itu maka kita bawa payung ke mana sahaja kita pergi. Tapi kematian itu selalu mengintai kita. Malaikat maut memerhati kita. Menuggu saat nyawa dicabut. Kematian yang pasti dan tidak akan cepat dan tidak akan lewat walau sesaat. Tapi pelik bukan, walaupun kita tahu akan hakikat kematian itu, kita masih alpa dan tidak bersedia untuk menghadapi perkara itu. Kita tahu yang Allah akan menyoal kita di hari pengadilan nanti tapi apakah kita sudah bersedia untuk menjawab segala persoalan yang akan disoal oleh Allah kelak?

                Jika takut hujan kita sediakan payung maka jika kita takut akan kematian, maka apa yang perlu dibawa? Tentu sahaja amalan dan niat yang ikhlas yang seiring dengan amalan kita itu. Jika payung akan selamatkan kita dari basah kuyup dek kerana hujan maka rasa kehambaan kita pada Allah, amalan kita dan niat yang ikhlas yang akan membantu kita dari diseksa oleh seksaan kubur dan azab api neraka. Itulah hakikatnya yang kita tahu tapi lupa. Maka saya disini mengingatkan kita semua bahwa semuanya benar.



                Kematian itu pasti. Seksa kubur itu pasti, seksaan api neraka itu ada dan ianya amat pedih tidak terperi dan tidak terkata. Maka bersedialah kita menghadapinya dengan amalan yang ikhlas kerana Allah serta penghambaan kita kepada Allah. moga ianya dapat membantu kita di hari pengadilan kelak. Sedarla wahai saudaraku bahawa sesungguhnya kematian kita amat hampir. Sering mengintai kita. Apakah kita sudah bersedia? Bawa payung. Bawa amal.

Sahli Arifin
15112016
Mahallah Zubair,
UIAM, Gombak.

Comments

Popular posts from this blog

Perak / Dirham : Berbaloikah untuk simpanan?

Perak : Simpanan & Pelaburan

Penting sangatkah ‘introducer’ ni?

Tempat terbaik untuk menjual emas

Tips Beli Emas : Mudah Jual Semula