Matlamat Dalam Kewangan Peribadi
Dalam membina dan merancang kewangan peribadi, satu perkara yang perlu diambil serius dan perhatian yang penuh iaitu matlamat. Apa yang kita mahu dalam kewangan peribadi kita? Matlamat yang paling besar yang ingin dicapai oleh semua orang adalah Bebas Kewangan.
Waktu sesi perbincangan dan sesi bersama rakan-rakan, kebanyakannya tak ada pun yang kata mereka nak capai bebas kewangan. Kebiasaan matlamat mereka apabila saya tanya adalah, 'saya tak nak dibelenggu hutang dah, nak bebas daripada hutang', 'saya dah tak nak fikir pasal gaji dah, saya nak ada waktu yang saya dah tak perlu risau pasal duit sebab duit dah banyak', 'saya nak ada bisnes yang bagi pulangan yang lumayan' dan macam-macam lagi.
Tapi, saya bagi rumusan bagi matlamat yang mereka kongsi tu adalah sebenarnya mereka mahukan status bebas kewangan. Bebas kewangan ini adalah satu tangga yang paling tinggi dalam kewangan peribadi. Boleh kata kemuncak dalam kewangan peribadi. Tapi, nak capai bebas kewangan ni, kita perlu ada paling kurang 4 perkara iaitu:
1. Aliran Tunai Positif
2. Dana Kecemasan 3 Bulan Pendapatan
3. Bebas Hutang
4. Kewangan Selamat (Simpanan 6 Bulan Pendapatan)
Apabila kita dah capai 4 perkara di atas, insya Allah title Bebas Kewangan akan berada di tangan kita semua. Jom kita telusuri satu-satu poin di atas.
Aliran Tunai Positif
Ini adalah tangga pertama atau perkara pertama yang perlu diamalkan dan diwujudkan dalam kehidupan seharian kita. Apa itu aliran tunai positif? Bahasa mudahnya ialah perbelanjaan kita kurang daripada pendapatan.
Poin ini sangat penting dan ia adalah tunggak dalam kewangan peribadi yang sihat. Bahasa lainnya adalah, belanja mengikut kemampuan. Sekiranya pendapatan kita adalah RM2,000.00 sebulan, maka pastikan perbelanjaan kita tidak melebihi daripada nilai pendapatan bulanan tersebut.
Sekiranya melebihi pendapatan, kita akan mulai berhutang dan untuk pengetahuan kita semua, hutang adalah pantang larang terbesar di dalam kaedah membina kewangan yang sihat dan hebat. Sebab hutang adalah jerat yang boleh memiskin kita jika kita tidak pandai dalam menguruskan hutang. Apatah lagi jika hutang tersebut jelas-jelas hutang negatif yang boleh mengurangkan nilai kekayaan peribadi kita.
Jadi, kalau kita nak bebas kewangan, pastikan perbelanjaan kita tidak melebihi pendapatan bulanan kita. Belanja berhemah sesuai dengan keperluan kita.
Dana Kecemasan 3 Bulan Pendapatan
Selepas kita berjaya membuat aliran tunai positif, terus ambil langkah seterusnya iaitu mewujudkan tabung atau dana kecemasan paling kurang 3 bulan pendapatan. Bahagian ini tersangatlah penting, dan setiap kali sesi perkongsian bersama rakan-rakan, inilah poin yang saya tekankan.
Dana kecemasan ini ibarat tali hayat sekiranya ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku. Dari dana inilah kita boleh tarik sedikit amaunnya untuk menampung kos perbelanjaan yang tidak terjangka tersebut.
Syarat utama bagi dana ini ialah, jangan guna. simpan dan terus menyimpan. kalau asyik menyimpan sahaja, bila nak gunanya? sesuai dengan namanya, maka dana ini hanya boleh digunakan ketika kecemasan sahaja. Didik diri kita untuk tidak menggunakannya kecuali apabila waktu kecemasan sahaja.
Oh ya, kalau dah terguna, pastikan tambah semula sampai cukup balik 3 bulan pendapatan ya.
Bebas Hutang
Seperti yang saya sebut pada poin pertama tadi, pantang larang dalam proses membina kewangan peribadi yang sihat adalah tidak berhutang atau jangan mempunyai hutang yang negatif. Apa itu hutang negatif? maksudnya ialah hutang yang boleh memiskinkan kita, bukan memberi keuntungan pada masa akan datang. Hutang yang boleh menghakis kekayaan peribadi inilah yang perlu dilunaskan sesegera mungkin jika kita mahu mencapai bebas kewangan.
Ada yang bertanya, 'ada tak cara nak cepat langsaikan hutang?', jawabnya ada. Caranya juga sangat mudah dan praktikal. apa dia? tidak lain dan tidak bukan adalah Bayar Hutang. Ini sahaja cara kalau kita nak cepat bebas hutang. Bayar, bayar dan bayar.
Jangan tangguh untuk membayar hutang, kalau tangguh maka makin lama masa yang diambil untuk kita mencapai matlamat sebagai seoarang yang bebas kewangan.
Kewangan Selamat
Tambah simpanan kita sehingga jumlahnya mencecah 6 bulan pendapatan. Sekiranya pendapatan bulanan kita RM2,000.00 maka wujudkan amaun sebanyak RM12,000.00 di dalam akaun simpanan kita sebagai back-up kewangan peribadi. Dana ini penting untuk menjaga diri kita sekiranya ada sesuatu berlaku pada diri.
Bebas Kewangan
Apabila kesemua poin di atas dah capai, kita sudah capai ke garisan akhir iaitu mencapai Bebas Kewangan. Pangkat Bebas Kewangan ini sebenarnya bukanlah bermakna kita sudah mempunyai RM1Juta atau sudah jadi jutawan. Bebas kewangan ini adalah bebas segalanya, hati tenang dari memikirkan masalah kewangan.
Nak lagi cantik adalah apabila pada stage ini kita mempunyai pendapatan pasif yang selamat dan melebihi perbelanjaan bulanan kita. inilah yang orang kaya-kaya sebut, 'tidur pun dapat duit'.
Bebas Kewangan ialah Bebas Semua Benda yang berkaitan dengan kewangan. Kita dah tak perlu pikir duit tak cukup sebab kita dah memang belanja kurang dari pendapatan setiap bulan, tak pernah lebih dan tidak berhutang. Bukan itu sahaja, amaun simpanan juga dah banyak sebab dah sampai 6 bulan pendapatan. Lebih-lebih lagi, dah tak perlu fikir pasal hutang sebab semua hutang dah lunas dan bebas dari jerutan hutang.
Saya selalu sebut, 'kaya kita bukan diukur pada nombor. kewangan yang sihat bukan dilihat pada banyaknya pendapatan bulanan. tetapi, kewangan yang hebat, sihat dan selamat adalah pada aliran tunai positif, jumlah wang simpanan (kesediaan untuk digunakan pada waktu kecemasan) dan bebas hutang'. apabila semua ni kita dah capai, kita dah selamat hati dan akal sebab dah tak perlu nak fikir-fikir dah, semua selesai, rest of mind.
Sekiranya rakan-rakan nak tahu lebih lanjut tentang perkara di atas, boleh hubungi saya di sini https://wa.me/601171610520
Sahli Arifin
Universiti Kebangsaan Malaysia
29.12.2020
Comments
Post a Comment