Simpan Dahulu Baru Belanja
Waktu mula-mula
saya nak mula menyimpan wang sebagai simpanan jangka panjang, saya guna kaedah
“belanja dulu, ada lebih baru simpan”, tapi saya dapat rasakan sendiri kaedah
ini tidak kena dengan diri saya. Kenapa? Saya selalu tak ada lebihan wang untuk
dijadikan simpanan. Ini membuatkan simpanan saya tidak bertambah bahkan makin
kurang.
Sedih rasanya
sebab simpanan tidak bertambah, makin teruk jika tengok akhir bulan simpanan
makin berkurang. Sebab gatal tangan pergi korek dekat ATM bank. Satu kesilapan
besar bagi saya kerana menyentuh wang simpanan. Ibarat pecah amanah atas amanah
kewangan dan simpanan peribadi.
Simpan dahulu, Belanja
kemudian
Selepas saya baca
artikel mentor saya, En. Mohd Zulkifli Shafie dan mendengar sendiri nasihat
dari beliau, saya cuba apply kaedah dan sifir yang di sarankan oleh
beliau: “simpan dulu, baru belanja”. Alhamdulillah, saya dapat rasakan
perbezaannya.
Apabila saya
simpan terlebih dahulu, saya dah tak perlu risau tentang amaun untuk simpanan
kerana saya sudah simpan. Lebihan simpanan saya, saya boleh buat belanja
setakat mana yang saya mahu. Sebagai contoh, saya dapat RM300 sebulan, saya
simpan RM50 terlebih dahulu dalam akaun simpanan. Saya ada baki RM250 dan saya
boleh belanja RM250 tu ikut hati saya tanpa saya perlu risau tentang simpanan
dan tabungan.
Kalau saya ikut
kaedah lama, saya belanja dahulu. Belanja dan belanja. Akhir sekali, tak ada
simpanan sebab tak ada lebihan dari perbelanjaan. Lagipula, hati ni tak tahan
tengok duit yang ada di dalam dompet, rasa nak guna dan belanja saja. Saya
berasa berduit. Apabila habis duit belanja, saya dah tak ada duit lagi dah. Dah
habis guna. Saya pokai.
Pokai berduit
Berbeza selepas
saya guna kaedah baharu, walaupun saya pokai di akhir-akhir bulan, saya tetap
berduit. Mentor kewangan saya istilahkan kondisi tersebut sebagai: ‘pokai
berduit’. Kondisi sekarang adalah pokai, tetapi hakikatnya berduit. Ada
simpanan. Saya dah tak perlu risau jika saya pokai, kerana saya pokai berduit.
Tapi, saya cuba
sedaya upaya untuk tidak menyentuh wang simpanan kerana matlamat dan tujuan
saya jelas. Wang itu adalah untuk simpanan, maka ianya perlu disimpan. Simpan
semata-mata simpan. Saya tak akan sentuh melainkan jika keadaan begitu
terdesak. Jika terdesak, saya hanya akan ambil amaun yang wajar dan perlu
sahaja. Sekadar ‘cukup makan’.
Tetapkan amaun untuk
simpanan
Menjadi satu
kewajiban dan keperluan untuk kita tentukan amaun simpanan setiap bulan, supaya
simpanan kita lebih jelas dan teratur. Jika kita telah tetapkan, setiap bulan
akan simpan RM100, maka setiap kali gaji masuk, kita akan tolak siap-siap
RM100, masukkan dalam bank dan jangan sentuh. Biarkan wang kita tidur lena
dalam bank tu, jangan nak gerakkan dia.
Apabila kita ada
tetapan yang khas, simpanan kita akan lebih sistematik dan terurus. Mudah untuk
buat kira-kira di kemudian hari. Seandainya kita TERGUNA wang simpanan kita,
pastikan kita GANTI semula amaun yang telah terguna tadi. Supaya, simpanan kita
tetap dan kukuh pada jalannya.
Jangan percaya
cakap saya. Cuba sendiri. Rasai sendiri nikmat dan kelebihan kaedah “simpan
dahulu, belanja kemudian”. Insya Allah, anda tidak rugi bahkan gembira selepas
merasai nikmat kaedah tersebut. Cuba dulu, baru tahu.
Sahli Arifin
30.12.2016 07:48AM
Mahallah Zubair
UIAM, Gombak.
Comments
Post a Comment