Kaya itu mulia
Kaya itu mulia
jika kita gunakan kekayaan itu di jalan kemuliaan. Akan tetapi, kaya juga boleh jadi hina jika kita gunakan kekayaan itu di
jalan kehinaan. Inilah sifir yang saya pakai dan saya tekankan serta saya
sebarkan kepada sahabat-sahabat yang ingin dan mempunyai hasrat untuk menjadi
kaya.
Sifir ini nampak
mudah tapi tidak senang. Tatkala kekayaan memenuhi tangan, pelbagai asakan dan
desakan menerjah dan menerpa akal sihat kita sehingga membuatkan akal kita yang
sihat menjadi sakit. Sakit kerana dihenyak dengan kehendak yang pelbagai. Nafsu
mulai mengintai, menunggu masa akal tumbang. Untuk mengambil alih.
Mulia jika kena dengan
tempatnya
Kaya itu mulia
dan mampu membuatkan si kaya itu mulia jika kekayaan di guna di landasan
kemuliaan. Dengan kekayaan yang kita ada, kita mampu buat benda-benda yang
mulia. Kita mampu membayar zakat pendapatan, kita mampu bersedekah, mampu
membantu golongan miskin yang memerlukan, mampu dan mampu. Kita mampu buat apa
sahaja, kerana kita kaya.
Begitulah juga,
dengan kehinaan. Kaya mampu membuatkan si kaya jatuh hina di lembah kehinaan
yang paling dalam. Apabila kita kaya, kita punya kuasa. Kita mampu berbuat apa
sahaja mengikut hawa nafsu kita. Mampu berfoya di kelab malam, mampu
bertukar-tukar pasangan, mampu memberi rasuah, mampu dan mampu. Kita mampu buat
apa sahaja, kerana kita kaya.
Iman dan taqwa,
membentuk kaya yang mulia.
Apa yang
membezakannya adalah keimanan dan ketaqwaan kita. Jika kita mempunyai iman dan
taqwa, nescaya kita akan pilih kaya yang mulia, bukan kaya yang hina. Kerana
iman kita selalu membentengi diri kita daripada melakukan sesuatu yang hina di
sisi Allah.
Iman dan taqwa
membuatkan kita sedar bahawa kekayaan kita itu bukanlah sepenuhnya hak kita.
Pada kekayaan kita, ada hak orang lain. Kita sedar, dengan kekayaan kita, Allah
sedang memberi peluang keemasan buat kita agar kita mampu menggunakan kekayaan
tersebut di jalan yang di redhai oleh Nya. Dengan kekayaan itu, kita mampu
berbuat amal kebajikan yang tidak mampu dilakukan oleh orang yang tidak kaya.
Bersyukurlah
kerana kita kaya dan diberi kekayaan yang melimpah. Gunalah kekayaan itu di
jalan kemuliaan sehingga kita termasuk dalam golongan kaya yang mulia dan dapat
mengaplikasikan erti ‘kaya itu mulia’. Iya. Kaya itu mulia.
Sahli Arifin
26.11.2016
Mahallah Zubair
UIAM, Gombak.
Comments
Post a Comment