Maafkanlah

Memberi maaf bukanlah suatu benda yang mudah. Itu saya tidak nafikan. Bukannya mudah untuk memaafkan seseorang yang telah menyakiti diri kita dan telah melukakan hati kita. Mereka mungkin mampu memohon maaf tetapi kita si mangsa, apakah mudah bagi kita untuk memaafkannya selepas apa yang telah dilakukan oleh si pemangsa.
Kredit foto: islamedia.id
Hati kita mungkin sakit dan perit menerima goresan atau tikaman dari si dia yang telah menyakiti kita, sehingga membuatkan diri kita mulai menanam perasaan amarah dan dendam bahkan kesumat. Tetapi, jika difikirkan semula, apakah kebaikannya dari perasaan tersebut? Apakah faedah terbesar jika kita berdendam, marah dan benci?

Natijahnya bakal kembali pada kita semula

Jika kita amati, semuanya akan kembali pada diri kita semula. Akhirnya berbalik pada diri kita kembali. Jika kita berdendam, apakah dendam itu akan sirna dan padam selepas kita melunaskan dendam kesumat yang telah membuku dari dalam tubuh dan hati kita? Apakah kita akan gembira?

Tidak. Sama sekali tidak. Percayalah, jawapannya adalah tidak. Kita tidak akan gembira dengan kegembiraan yang besar dan kebahagiaan yang sempurna. Mungkin selepas kita membalas dendam, hati kita rasa puas. Tapi, ia tidak bakal terhenti di situ sahaja. Ianya berterusan.

Bayangkan jika kita membayar dendam tersebut, kita lunas. Tetapi ahli keluarga orang yang kita balas tadi, apakah mereka tidak bakal mempunyai dendam juga? Jika mereka turut memasang dendam, nescaya perasaan itu tidak akan berhenti. Ia bakal berterusan dan kita akan kembali menaruh dendam dan benci.

Hentikannya dengan kemaafan

Hentikan rasa dendam, benci dan marah itu, walaupun ianya sukar dan sulit bagi kita. Jika kita tidak hentikannya, ia bakal mengalir laju dalam susuk tubuh kita, bahkan akan membiak dan membesar. Hentikan perasaan itu dengan memberi kemaafan. Berilah kemafaan, nescaya hati kita bakal tenang dan aman.

Terkadang saya terfikir, kenapa perlu saya menaruh dendam dan benci pada mereka. Tatkala saya menanam perasaan buruk itu, hati saya akan terus berfikir tentang dirinya, bagaimana cara nak balas balik, macam mana nak sakitkan hati dia; sungguh ia tidak memberi sebarang manfaat pada diri saya walau sekelumit.
Kredit foto: sixdegreesofkosherbacon.com
Saya fikir, ‘kenapa perlu aku habiskan masa memikirkan orang yang tidak memberi sebarang manfaat pada diri aku? Dia tidak layak untuk aku masukkan dalam minda aku, untuk aku fikir itu dan ini. Dia hanyalah dia, seorang manusia yang mampu melakukan kesilapan. Aku juga. Selalu silap. Maafkan dan terus mengatur langkah’.

Iya, setiap orang melakukan kesilapan dan kesalahan. Termasuk diri kita. Mereka buat salah pada kita, maafkanlah. Maafkan kerana pada suatu saat yang lain, kita juga bakal merintih memohon kemaafan. Tatkala kita melakukan kesilapan, tentu sahaja kita akan mohon maaf, moga dengan kemaafan yang terus diberi oleh hati kita kepada orang lain, menjadi sebab agar Allah lembutkan hati orang lain untuk mudah memaafkan kesalahan kita.

Tenangkan hati dan jadilah insan positif

Duduklah sejenak, tenangkan hati dan fikiran, betulkan persepsi. Jika kita menaruh dendam dan benci, kita akan menjadi seorang yang berfikiran negatif dan ia membuatkan hati kita dan susuk tubuh badan kita turut merasa tempias negatif tersebut dan kita bakal menjadi seorang yang negatif dan berfikiran sempit serta berhati kecil.
Kredit foto: sabusinessindex.co.za
Luaskan dan lebarkan hati kita dengan sifat yang positif. Buka minda dan akal. Jangan habiskan masa membina keburukan dalam diri tapi binalah kebaikan dan keharmonian dalam diri, hati dan jasad. Ini semua untuk siapa? Untuk kita.

Sahli Arifin
03.02.2017 08:05AM
Bandar Saujana Putra,
Selangor.

Comments

Popular posts from this blog

Perak / Dirham : Berbaloikah untuk simpanan?

Perak : Simpanan & Pelaburan

Penting sangatkah ‘introducer’ ni?

Tempat terbaik untuk menjual emas

Tips Beli Emas : Mudah Jual Semula