Kekayaan bukan dinilai pada NOMBOR
Ramai yang bangga
dan gembira apabila nombor dalam akaun bank atau di slip gaji banyak,
berderet-deret. 4 angka, 5 angka, 6 angka, sampai berangka-angka. Banyak sangat
sampai jenuh nak kira dari sa, puluh, ratus, ribu, puluh ribu; sampai dah tak
tahu dah nak sebut apa pada nombor yang ada. Saya memang tak boleh nak sebut
tempat bagi angka yang ada pada not wang Zimbabwe kerana terlalu panjang dan
banyak.
Terkadang kita
tidak boleh percaya pada bilangan nombor yang tertulis dan bercetak kemas di
helaian wang kertas yang kita miliki kerana nilai yang tertulis itu tidak
mewakili nilai yang dipegang olehnya sendiri. Ini disebabkan nilainya sudah
dirompak secara senyap oleh perompak bersiri yang bernama INFLASI. Walaupun kita
menyimpan wang kita dalam peti besi dan dipagari barisan pengawal sekalipun,
nilainya tetap akan dirompak oleh perompak licik tadi.
Kuasa beli semakin kecil
dan menyusut
Kita boleh rasai
sendiri, bagaimana nilai wang kita semakin hari semakin kecil dan mungkin
sahaja nilainya bakal menjadi zero; kosong. Lihat sahaja apa yang sedang
menimpa di Zimbabwe, walaupun nombor yang tertulis di atas not kertasnya begitu
banyak, tapi ia tidak dapat memberi apa-apa nilai yang kukuh, bahkan Z$100
billion hanya mampu membeli 3 biji telur sahaja.
Jika kita menilai
kekayaan itu hanya pada bilangan nombor pada akaun kita, nescaya rakyat negara
Zimbabwe lah yang paling kaya di dunia ini. Dengan hanya sekeping kertas yang
tertulis atasnya Z$100 billion, mereka layak bergelar billionaire. Tapi, apakan
daya. Kuasa beli pada not tersebut hanyalah 3 biji telur sahaja.
Bahkan, rakyat
negara mereka terpaksa menggunakan not kertas dari negara luar yang lebih kuat
kuasa belinya seperti dollar Amerika. Ada juga rakyat mereka yang menggunakan
kepingan-kepingan kecil emas sebagai transaksi kerana emas memang dipercayai
sejak dahulu bahawa ianya mempunyai nilai yang tinggi dan mampu memegang kuasa
beli yang kuat.
Pilihlah yang terbaik
mengikut kepercayaan anda
Saya cuma mampu
sarankan agar kita semua pilihlah instrumen yang terbaik mengikut kepercayaan
kita; yang mampu menyelamatkan kita daripada ancaman perompak bersiri yang
bernama INFLASI. Bagi saya, saya lebih prefer emas sebagai instrumen
simpanan wang kerana emas mampu MEMEGANG NILAI dan juga KUASA BELI walaupun
kita simpan emas tersebut sudah berkurun lamanya.
Sahli Arifin
09.07.2017 09:59AM
Bandar Saujana Putra.
Comments
Post a Comment