Cara Semak Wang Tak Dituntut
Siapa di sini mempunyai banyak akaun bank? Terlalu banyak sampai ada akaun yang dah 'dilupakan'. Biasa menyimpan di dalam akaun bank, tapi sebab dah lama sepi, akaun bank tersebut sunyi dan akhirnya gelap dari minda. Atau pernah buat tuntutan pampasan? pernah mohon untuk klaim insuran tapi disebabkan klaim tersebut ambil masa yang lama, kita pun jadi lupa dah, walhal permohonan tersebut telah diluluskan oleh pihak berwajib.
Siapa kat sini pernah merasai kenikmatan dan kegembiraan apabila seluk poket baju, tengok-tengok ada duit. Atau waktu kemas rumah, terjumpa sampul yang tersemat elok di bawah bucu katil, buka sampul, nohhh, duk ada RM1,000.00.
Mungkin ada wang receh yang kita 'lupa' sedangkan wang tersebut adalah milik kita. Disebabkan kesibukan kerja dan hidup, kita tak ungkit dan akhirnya wang tersebut diklasifikasikan sebagai Wang Tak Dituntut (WTD). Okay, sebelum tu, apa itu wang tak dituntut?
Menurut Jabatan Akauntan Negara Malaysia, wang tak dituntut ini boleh di kelaskan kepada tiga (3) kategori:
1. Wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu (1) tahun. contoh seperti gaji, dividen, tuntutan insuran yang telah diluluskan untuk bayaran dan lain-lain.
2. Wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekalipun dalam satu tempoh masa tidak kurang dari tujuh (7) tahun. contoh: akaun simpanan, akaun semasa atau akaun simpanan tetap.
3. Wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urus niaga dalam satu tempoh masa tidak kurang dari dua (2) tahun. contoh: akauan pemiutang dagangan atau akaun penghutang dagangan berbaki kredit.
Saya ingat lagi, sebelum ini saya kena pergi ke Jabatan Akauntan Negara Cawangan Kelantan waktu temankan abah untuk buat tuntutan Wang Tak Dituntut (WTD) . Abah pun terkejut sebab ada WTD. Abah tahu pun sebab tiba-tiba sampai surat daripada satu syarikat yang sukarela nak bantu buat tuntutan WTD dari pejabat akauntan. Kalau ikutkan, bukan sukarela pun sebab kena bayar caj beberapa peratus daripada jumlah WTD yang kita nak tuntut nanti. Bijak.
Alhamdulillah, saya ambil inisiatif untuk semak semula surat tersebut dan saya ambil pendirian untuk mengabaikan surat tersebut disebabkan satu kenyataan rasmi daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia di mana mereka tidak pernah melantik mana-mana individu/firma/syarikat sebagai orang tengah atau ejen untuk urusan tuntutan bayaran balik WTD. Bukan itu sahaja, sebenarnya TIADA sebarang caj yang akan dikenakan ke atas permohonan bayaran tuntutan WTD.
Baik, kita kembali pada tajuk. Tahukah anda bahawa kita boleh semak jumlah Wang Tak Dituntut secara dalam talian sahaja? Betul ke? Betul.
Sekarang ni, seperti yang dinyatakan di dalam laman web Pendaftar Wang Tak Dituntut, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, kita dah boleh semak sendiri melalui pautan https://egumis.anm.gov.my/
Jadi, macam mana kita nak semak? Mudah sahaja. Jom baca step di bawah:
1. Pergi ke laman web eGumis (https://egumis.anm.gov.my/).
2. Bawa tetikus anda di atas perkataan "Semakan", klik "Pendaftaran".
3. Isi maklumat "Pendaftaran Pengguna" seperti di bawah dan klik "Daftar":
4. Log Masuk menggunakan Kata Nama dan Kata Kunci yang kita tetapkan.
5. Kemaskini maklumat peribadi. Usai kemaskini, kita boleh semak dengan memasukkan nombor kad pengenalan kita di "Klik disini untuk carian wang tak dituntut".
Kita boleh semak maksimum dua (2) nombor kad pengenalan sahaja untuk satu hari. Kalau nak lebih, semak keesokannya. Nanti akan tertera jumlah amaun yang telah dikategorikan sebagai WTD. Selesai.
Saya semak, ada jumlah amaun WTD la, boleh ke kalau saya nak tuntut?
Tentulah boleh sebab itu duit kita. Kalau sebelum ini, kita kena ke kaunter, serah borang, sekarang ni hanya perlu isi borang secara dalam talian sahaja, di laman web yang sama, tanpa perlu beratur di kaunter. Mudah kan?
Selepas anda semak guna nombor kad pengenalan anda, dan WTD wujud di dalam sistem, kita boleh teruskan untuk permohonan tuntutan bayaran balik WTD. Nanti anda akan diminta untuk masukkan maklumat yang diminta dan juga muat naik beberapa dokumen yang diperlukan. Hanya perlukan salinan kad pengenalan dan juga salinan penyata akaun bank yang aktif.
Pihak pengurusan akan semak maklumat yang diberikan. Kita akan dapat makluman mengenai status permohonan melalui alamat emel yang didaftarkan. Bayaran akan dikreditkan ke akaun yang kita daftar dalam masa 30 hari bekerja selepas tarikh pengesahan. Itu sahaja kaedahnya. Mudah bukan? Semoga ada kebaikan dan manfaatnya.
Sahli Arifin
19 Mac 2021
Universiti Kebangsaan Malaysia
Comments
Post a Comment