Kita Adalah Pengurus Kewangan Peribadi Sendiri

Ramai yang mahu mempunyai kewangan peribadi yang baik, selamat dan kukuh. Termasuk saya. Siapa tak mahu nak ada kewangan peribadi yang sihat, kan? Semua orang mahukan kewangan peribadi yang bagus, bebas daripada hutang, mempunyai dana simpanan yang mencukupi, aliran tunai yang positif, ada pendapatan pasif dan sebagainya.
Sedarkah kita, sebenarnya kitalah yang perlu mencorak dan mengubah perkara tersebut menjadi kenyataan. Sekali lagi saya ulang, kita sendiri, bukan orang lain. Kitalah yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan kewangan kita. Jangan sesekali mengharapkan orang lain walaupun ada golongan di luar sana yang mempromosikan diri mereka sebagai pakar penasihat kewangan.

Iya, mereka adalah pakar dan penasihat kewangan yang bertauliah. Cuma, mereka hanyalah sekadar penasihat. Akhir sekali, semuanya terletak di atas bahu dan tangan kita, bagaimana kita mahu memikulnya dan kaedah bagaimana kita mahu corak kewangan kita. 

Kalau motor kita rosak, kita boleh hantar jumpa mekanik untuk mereka baiki. Bayar upah, mereka akan baiki kerosakan motorsikal kita. Tapi, kalau kewangan yang rosak, kita sendiri yang perlu baikinya, bukan orang lain. Kita boleh minta nasihat dan pandangan daripada pakar tentang cara membaiki kerosakan dalam kewangan kita, tapi tetap, akhirnya adalah pada diri kita juga.

Minta Pandangan dan Nasihat

Minta nasihat daripada ahlinya. Kita boleh dan seharusnya meminta nasihat daripada mereka, sama ada mereka adalah ejen unit trust, takaful, saham, emas, hartanah, pinjaman bank dan sebagainya. Tapi, jangan sesekali biarkan mereka mencorakkan kewangan kita kerana mereka tentu-tentu mempunyai matlamat dalam menjual produk mereka. Sama juga seperti saya sebagai seorang ejen emas, saya ada produk saya yang saya boleh jual pada anda. 

Apa yang perlu dibuat? Selepas terima nasihat daripada mereka, duduk sejenak dan fikir. Buat kira-kira dan perancangan yang sewajarnya. Kerana apa yang akan kita buat akan menatijahkan kelangsungan dan aliran kewangan kita. Jika kita rasa sesuai dengan kewangan kita, hubungi mereka untuk urusan selanjutnya.

Sebab itu, saya selalu tekankan sama ada di dalam tulisan-tulisan saya atau sesi perkongsian saya, 'akhir sekali adalah pada diri kita, kita yang tentukan. kita yang akan mengurus kewangan kita. Semua natijah dan hasil kewangan kita adalah berdasarkan keputusan yang kita ambil'.

Ambil inisiatif untuk pikul tanggungjawab terbesar ini iaitu untuk memperbaiki kewangan peribadi kita. Banyakkan belajar dan bertanya. Hadiri seminar kewangan daripada pakar yang sudah terbukti berjaya, baca buku dan buat kira-kira. Insya Allah, kita akan berjaya menguruskan kewangan kita.

Sahli Arifin
Residensi Zamrud
01.02.2021 ; 12:01PM
kredit foto: insken.gov.my

Comments

Popular posts from this blog

Perak / Dirham : Berbaloikah untuk simpanan?

Perak : Simpanan & Pelaburan

Penting sangatkah ‘introducer’ ni?

Tempat terbaik untuk menjual emas

Tips Beli Emas : Mudah Jual Semula